Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Azmah Haji Ahad
JERUDONG, Isnin, 20 Oktober. - Tiga dekad lebih perjalanan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) adalah satu amanah yang besar, yang mana amanah untuk menjaga simpanan para pelanggannya, memainkan peranan positif dalam menjaga kemakmuran ekonomi negara, dan menzahirkan nilai-nilai syariah dalam dunia kewangan moden.
Dalam tempoh ini, Perbadanan TAIB telah melalui pelbagai fasa perubahan dan cabaran namun tetap teguh berpaksikan prinsip amanah dan tanggungjawab.
Perjalanan ini bukan sahaja soal angka dan prestasi, tetapi perjalanan yang membina Perbadanan TAIB sebagai peneraju dalam perkhidmatan kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, semasa Majlis Makan Malam Tahunan Bersempena Ulang Tahun Penubuhan Perbadanan TAIB yang ke-34 bertempat di Dewan Indera Samudra, The Empire Brunei, Jerudong.
Berucap selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II seterusnya menambah, Perbadanan TAIB terus memainkan peranan dalam memacu pembangunan kepelbagaian sektor berimpak tinggi, sejajar dengan mandatnya sebagai institusi kewangan Islam yang menyokong pembangunan industri dan ekonomi di Negara Brunei Darussalam.
Dalam hal ini jelas Yang Berhormat, strategi Perbadanan TAIB menumpukan kepada pembangunan dan penambahbaikan produk serta perkhidmatan yang berfokus kepada perancangan kewangan jangka panjang dan keperluan pelanggan.
Inisiatif seperti penambahbaikan Kad Kredit, Ar-Rizq Term Deposit, dan produk Retirement Saver, jelas Yang Berhormat, bukan sahaja meningkatkan nilai manfaat pelanggan, malah menyokong aspirasi Skim Persaraan Kebangsaan (SPK).
“Alhamdulillah, dalam lima tahun kebelakangan ini, kita telah menyaksikan pertumbuhan positif yang amat ketara dalam prestasi kewangan Perbadanan TAIB, di samping pengiktirafan antarabangsa dalam pelbagai bidang yang sebelumnya tidak pernah tercapai," ujar Yang Berhormat lagi.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat menyatakan, turut menyaksikan pertumbuhan organisasi dan transformasi digital yang bukan sekadar peningkatan teknologi sahaja tetapi juga satu perubahan yang menyeluruh dalam kecekapan operasi yang turut mengekalkan integriti, keselamatan dan tadbir urus yang kukuh.
Seiring dengan usaha transformasi ini, terang Yang Berhormat, Perbadanan TAIB telah memperkukuhkan pengurusan risiko melalui pembangunan model-model risiko dalaman (Internal Models) yang membantu mengurangkan pendedahan risiko dan meningkatkan kecekapan pengurusan risiko, selaras dengan amalan terbaik industri kewangan.
Dari segi pematuhan dan tadbir urus, Yang Berhormat sukacita melihat bahawa Perbadanan TAIB terus menekankan keutuhan sistem kawalan dan integriti, memastikan setiap operasi dijalankan dengan piawaian tertinggi demi memastikan pertumbuhan institusi dijalankan secara beretika dan berkesan.
“Marilah kita terus bergerak ke hadapan dengan semangat yang sama, menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memperkukuhkan transformasi digital negara dan mengadaptasi teknologi baharu termasuk Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) dalam meningkatkan mutu perkhidmatan serta kecekapan operasi," ujar Yang Berhormat lagi.
Terdahulu itu, Yang Berhormat dalam ucapannya, merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada Yang Mulia Pengarah Urusan, Ahli-ahli Lembaga Pengarah serta seluruh warga Perbadanan TAIB yang telah bersama-sama mengukir pencapaian demi pencapaian, sehingga membawa Perbadanan TAIB menjadi institusi yang berdiri teguh sebagai institusi kewangan Islam yang diyakini dan disegani dengan beberapa pencapaian dan pengiktirafan yang cemerlang di peringkat antarabangsa.